Apa selepas 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender?

Share This Post

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on email

Sambutan 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender akan berakhir pada 10 Disember setiap tahun. Namun kempen ini tidak terhenti hanya dengan 16 hari yang dijalankan di seluruh dunia. 16 hari ini merupakan momentum untuk memberi signal bahawa keganasan terhadap wanita merupakan satu bentuk perlakuan yang tidak seharusnya berlaku ke atas batang tubuh seorang wanita. 

 

Tahun ini IWB melancarkan kempen Berani Bersuara : Bangkit Lawan Rogol, dengan tema yang selaras dengan tema global iaitu Generation Equality : Stand Against Rape! Dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan memecahkan pemikiran taboo bahawa isu-isu rogol adalah merupakan salah mangsa. Di Malaysia, kempen ini telah dijalankan di seluruh pelosok tanah air bagi meraikan kempen global oleh banyak organisasi wanita.

Seperti yang sedia maklum, Malaysia merupakan penandatangan Konvensyen Penghapusan Kesemua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Convention on the Elimination of all forms of Discrimination Against Women – CEDAW). Maka, Kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan bahawa keselamatan wanita harus diberi perhatian bagi memastikan perlakuan keganasan tidak terjadi ke atas wanita.

 

Antara proses utama yang penting perlu diambil kira adalah proses pendidikan. Pendidikan adalah suatu proses maha penting dalam melahirkan dan membentuk individu yang mempunyai nilai manusiawi serta memahami gagasan sosial, seterusnya dapat menterjemahkan nilai dan kefahaman tersebut dalam konteks bermasyarakat. Oleh itu, penekanan harus diberikan buat mewujudkan kurikulum sekolah yang memfokuskan kepada penanaman nilai kesamarataan, keterangkuman dan kepelbagaian dalam masyarakat untuk membina sebuah negara dan bangsa penuh nilai.

 

Ruang awam gagal menjadi ruang yang bebas buat wanita serta anak perempuan bersosial dan berinteraksi secara terangkum. Kita masih berada dalam masyarakat di mana wanita serta anak perempuan merasa takut akan keselamatan dan kesejahteraan mereka. Malah ada juga yang dianggap sebagai ‘beban’ terhadap keluarga. Kita mampu, malah telah mengetengahkan wanita-wanita ke barisan hadapan; menjadi pemimpin dan ketua, namun tanpa menyuarakan dan mencabar stereotaip gender pada peringkat pembangunan sosial, kita sebenarnya masih gagal dan tidak boleh berharap untuk memastikan wanita serta anak perempuan merasa selamat dalam ruang ini.

Tambahan pula, antara proses yang penting untuk dilakukan adalah bekerjasama dengan golongan lelaki. Usaha ini boleh dilakukan pada usia muda, iaitu melalui proses persekolahan itu sendiri. Jika anak lelaki diajar untuk memahami bagaimana masyarakat egalitarian sebenarnya bermanfaat untuk semua dengan mempersoalkan norma peranan jantina, dia akan belajar menganggap wanita sebagai seteru dan bukan lebih rendah. Justeru, pendidikan boleh memainkan peranan penting dalam menjadikan masyarakat yang lebih selamat untuk wanita serta anak perempuan, dan ianya boleh tercapai dengan membuat pemekaan gender sebahagian daripada kurikulum sekolah..

 

Dasar Kerajaan harus menggariskan kepentingan pemekaan gender dan hormat wanita.

Kepentingan pemekaan gender dan hormat wanita di sekolah harus diiktiraf dan diberi kepentingan sewajarnya dalam semua dasar yang menggariskan tentang pendidikan berkualiti. Kerajaan perlu mengambil langkah yang progresif untuk mula memperkenal dan mengarusperdanakan kurikulum pemekaan gender. Kesaksamaan gender adalah salah satu hasil yang diharapkan daripada Dasar Pendidikan di negara ini. Sekolah perlu menjadi salah satu institusi penting dalam mengetengahkan usaha untuk menangani permasalahan ketidaksaksamaan gender secara kritikal dan memastikan bahawa ini adalah sebahagian daripada proses persekolahan yang dilalui oleh anak-anak kita.

Sekiranya kita ingin melihat masyarakat yang tidak mengamalkan diskriminasi, di mana wanita, anak perempuan dan golongan rentan tidak diperlakukan sebagai seorang yang lebih rendah martabatnya serta hak yang sama diberikan kepada semua. Dengan slogan Malaysia Baru yang dilaungkan mutakhir ini, maka inilah masanya untuk menekankan peri penting pemekaan gender dan tidak ada lagi keganasan terhadap wanita sebagai kurikulum sekolah. Ini juga untuk memastikan bahawa Malaysia mampu bergerak menuju masyarakat yang lebih seimbang dan terangkum dalam masa depan yang terdekat.

More To Explore

Scroll to Top