Impak Sosio-Ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 Terhadap Kehidupan Wanita di Selangor

Share This Post

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on email

Impak Sosio-Ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 Terhadap Kehidupan Wanita di Selangor

Penulis: Siti Kamariah Ahmad Subki, Rusni Tajari, Nur Hazwani Husin, Muhammad Hafizz Dzulkifli, Leoniek Kroneman & Lim Su Lin

Tarikh: April 2020

RINGKASAN EKSEKUTIF

Kajian ini bertujuan untuk meneliti impak sosio-ekonomi apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan dari pandemik COVID-19 terhadap kehidupan wanita. Kajian ini tertumpu kepada wanita di Selangor, bermula dari minggu kedua selepas PKP diumumkan oleh kerajaan. Satu kaji selidik atas talian telah dilancarkan dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil melalui pelbagai platform media sosial. Soalan Kaji Selidik ini meliputi 30 soalan dan mengambil masa selama 5 sehingga 10 minit. Seramai 442 wanita telah melengkapkan survei dalam masa 4 hari. Pada 25 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa PKP akan dilanjutkan selama 3 minggu, sehingga 14 April 2020.

Taburan sampel kajian meliputi segenap umur, dengan majoriti dari etnik Bumiputera, isi rumah kategori B40 (pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM 6,275 ) dan wanita yang bekerja serta telah bercerai, dibandingkan dengan statistik diperolehi dari Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Keputusan kajian menunjukkan bahawa 25% dari wanita yang telah kehilangan sumber pendapatan ketika fasa PKP disebabkan oleh pemberhentian kontrak pekerja, penutupan premis perniagaan atau diberi cuti tanpa gaji. Tambahan pula, hampir separuh (43%) daripada wanita melaporkan bahawa mereka telah kehilangan sumber pendapatan disebabkan oleh pelaksanaan PKP. Kumpulan yang mudah terjejas termasuklah wanita dalam isi rumah yang besar, wanita yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan yang lebih rendah serta wanita yang mana pendapatan isi rumah mereka bergantung (sebahagian) kepada upah harian. Kumpulan-kumpulan ini mencatatkan kehilangan sumber pendapatan lebih kerap disamping faktor persediaan kewangan yang lebih rendah. Ibu tunggal secara khasnya, adalah kumpulan yang terjejas, di mana satu per empat daripada mereka hidup di bawah indeks garis kemiskinan dan hampir sebahagian daripada mereka melaporkan kehilangan sumber pendapatan disebabkan oleh pelaksanaan PKP. Walaupun tidak sepenuhnya terjejas, wanita dengan pendapatan bulanan isi rumah dalam kategori M40 juga terkesan akibat PKP, dengan 7% daripada mereka diberikan cuti tanpa gaji atau terpaksa menutup perniagaan dan 12% pula melaporkan bahawa mereka telah kehilangan sumber pendapatan isi rumah kerana pelaksanaan PKP.  

Majoriti wanita mempunyai tanggungan dan satu per tiga daripada wanita pula melaporkan bahawa pengurusan keluarga mereka telah terkesan dengan PKP. 37% daripada wanita melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai sokongan untuk menjaga tanggungan ketika sedang bekerja. Walaupun dengan kewujudan pakej rangsangan oleh Kerajaan Negeri Selangor, ada responden melaporkan bahawa mereka tidak maklum mengenai Pakej Rangsangan Selangor Prihatin (19%) atau kriteria kelayakan (44%).

Merujuk kepada akses bantuan kewangan, hanya 25% wanita mempunyai kad kredit, 20% wanita layak memohon pinjaman peribadi dan 9% mempunyai akses kepada pinjaman berbentuk cagaran aset. Tiga daripada lima wanita tidak mempunyai akses terhadap mana-mana bentuk perkhidmatan kewangan. Tambahan pula, 14 orang wanita melaporkan bahawa mereka atau ketua keluarga mereka sendiri pernah meminjam wang daripada Ah Long (pemberi pinjaman tidak berlesen), manakala 7 orang wanita pula tidak pasti tentang hal ini. Walaupun kelompok wanita ini hanyalah meliputi 5% daripada jumlah sampel, penemuan ini turut membimbangkan kerana kaedah pinjaman tidak berlesen ini memberi risiko yang tinggi dan mengancam keselamatan kewangan wanita pada jangka masa yang panjang. Wanita yang mempunyai persediaan kewangan yang kukuh adalah mereka yang mempunyai simpanan yang mampu bertahan lama, mempunyai akses kepada kad kredit atau akses kepada mana-mana servis kewangan.

More To Explore

Scroll to Top