Kenal Jenis Rogol dan Ketahui Motif Perogol

Share This Post

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on email

Walaupun semua rogol menjijikkan, tetapi kes rogol mempunyai pelbagai jenis. Kenapa penting untuk kita tahu perbezaan jenis kes ini?, ia penting supaya kita tahu dan faham motif yang mendorong pelaku untuk melakukan jenayah ini. Kefahaman yang lebih jelas tentang perbezaan kes rogol membolehkan kita lebih faham kenapa ia berlaku, dan bagaimana menghentikan rogol dalam masyarakat kita. 

Ada keterbatasan dalam definisi undang-undang  berkaitan rogol di Malaysia yang menyukarkan sabitan  kesalahan sesetengah kes rogol. Undang-undang Malaysia mentakrifkan rogol sebagai kemasukan (penetration) penis ke dalam vagina tanpa persetujuan, yang mana mangsa rata-rata terdiri daripada wanita dan kanak-kanak perempuan. Dalam undang-undang Malaysia, kes-kes di luar tabii mungkin terlepas daripada definisi ini. Walhal kata kunci untuk kes rogol ialah PAKSAAN dan TIADA KEIZINAN. Kes-kes ini kadang kala disabitkan dibawah akta yang berbeza dan mempunyai hukuman yang lebih ringan. 

Kes-kes yang dilaporkan ke dada akhbar selalu mensensasikan kes rogol dan fokus kepada butiran sadis yang berlaku dan tidak sensitif mengemukakan nama mangsa dan latar belakang mangsa, dan dalam masa yang sama jarang memaparkan nama dan latar belakang pelaku. Ketidakseimbangan dalam laporan ini menyebabkan masyarakat lebih fokus dengan bagaimana dan siapa mangsa, tambahan sikap masyarakat yang suka mencemuh dan memandang hina mangsa menyebabkan mangsa menderita dan bukannya pelaku. Pelaku selalu terlepas dan hidup seperti biasa padahal mangsa menderita seumur hidup.  

Kenali Jenis-Jenis Rogol

  • Rogol menggunakan objek – Tidak seperti kebiasaan definisi rogol iaitu memasukkan penis kedalam vagina, rogol menggunakan objek adalah apabila pelaku menggunakan objek untuk merogol seperti kayu, botol dan apa-apa objek keras lain. Kes ini tidak termaktub dibawah pendefinisian undang-undang rogol Malaysia.
  • Rogol dalam Perkahwinan (Marital Rape) – rogol yang dilakukan oleh suami ke atas isterinya, lazimnya isteri malu dan takut untuk melaporkan kes sebegini. Kes ini tidak termaktub di bawah undang-undang Malaysia.
  • Rogol janji temu (Date Rape) – Rogol yang dilakukan oleh kenalan atau pasangan yang berminat untuk menjalinkan hubungan romantik atau sedang dalam hubungan romantik. 
  • Rogol Lelaki/Transeksual – Liwat juga adalah kesalahan yang sama seperti merogol di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan. Elemen keizinan tidak diambilkira didalam kes liwat. 
  • Aggravated Rape – Kes rogol yang melibatkan kecederaan seperti dalam rompakan, atau dilakukan ke atas wanita mengandung.  
  • Rogol beramai-ramai- Dilakukan beramai-ramai. 
  • Sumbang Mahram – Rogol yang dilakukan oleh ahli keluarga mangsa. Lazimnya berulang-ulang dan berlaku dalam tempoh yang lama sebelum ia dilaporkan atau tidak dilaporkan langsung. 
  • Rogol berkanun – Rogol yang dilakukan ke atas mangsa berumur 16 tahun ke bawah. Sebarang hubungan seks dengan wanita berumur bawah 16 tahun dianggap kes rogol kerana kanak-kanak perempuan dan remaja perempuan dianggap tidak cukup matang untuk memberikan kebenaran (consent)

Mari kita tinjau beberapa kes berbeza yang berlaku : 

Kes rogol 1 : Rogol bawah umur

Dua pelajar lelaki tingkatan tiga, masing-masing didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengemukakan rayuan kepada pihak mahkamah. Rayuan yang dilakukan menerusi ibu bapa masing-masing memohon jaminan dikurangkan dengan alasan masih bersekolah dan jumlah pendapatan keluarga tidak menentu.

Kedua-dua tertuduh, masing-masing berusia 15 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya menawarkan ikat jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes rogol 2 : Perogol Bersiri

Antara kes rogol yang paling kejam telah berlaku di negara ini sekitar tahun 90-an. Perogol bersiri tersebut di kenali sebagai Lee Chow Meng yang berasal dari Mentakab Pahang. Beliau dikatakan putus cinta dengan seorang gadis Tionghua dari Kota Bharu dan kemudiannya menjadikan gadis-gadis seiras teman wanita sebagai mangsa rogol. Antara modus operandi beliau adalah dengan memasukkan dadah ke dalam minuman  mangsa sebelum merogol dan membunuh semua mangsanya. 

Menurut  pakar kriminologi, Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin bahawa bagi pesalah, wanita adalah orang yang tidak boleh dipercayai dan perlu diajar dengan melakukan kekerasan.

Akhirnya,  Chow Meng di tangkap pada 28 Ogos 2017 dan telah didakwa dengan satu pertuduhan yang mana hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun.

Kes 3: Sumbang Mahram

Seorang datuk berusia 71 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan mencabul dan merogol dua cucunya pada Jun 2018.

Walaubagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Punjabi di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan cucunya berusia enam tahun. Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan seksual fizikal ke atas seorang lagi cucu perempuannya berusia lima tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dihukum dengan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah supaya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kedua-dua mangsa adalah cucu kepada tertuduh sebelum Peguam bela merayu supaya jaminan diberikan atas alasan faktor kesihatan dan kedua-dua kanak-kanak itu tidak tinggal bersama tertuduh.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak menghubungi mangsa dalam apa juga keadaan.

Kes 5: Transgender

Kekejaman jenayah berunsur kebencian terhadap transgender sering dilakukan sewenang-wenangnya. Pada Februari 2017, Sally (bukan nama sebenar), wanita transgender dibunuh di Kuantan, ibukota Pahang. Polis menahan lima orang lelaki bersabit jenayah tersebut pada awal April. Kesemua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin dan belum dibicarakan sehingga kini. 

Motif Perogol 

Menurut kajian akademik yang dilakukan keatas perogol dalam Study On Rape in Penang, terdapat beberapa kategori motif perogol melakukan tindakan keji tersebut ke atas mangsa. 

  • Rogol bermotifkan kemarahan (Anger Rapist)

Perogol sebegini ingin melampiaskan kemarahan mereka ke atas mangsa. Mangsa selalunya disuruh melakukan tindakan yang memalukan. Hal ini bertujuan untuk menghina dan merendah-rendahkan mangsa. Tujuan utama mereka ialah menyakiti dan memalukan mangsa. Seks dijadikan senjata.

  • Rogol bermotifkan kuasa (Power Rapist)

Perogol sebegini ingin menunjuk kekuasaan mereka ke atas mangsa. Rogol dijadikan sebagai jalan memaksa mangsa tunduk dan patuh kepada kehendak mereka. Mereka ingin menunjukkan kuasa, kawalan dan autoriti. Lazimnya mereka akan mendakwa mangsa menikmati tindakan tersebut. 

  • Rogol sadistik (Sadistic Rapist)

Perogol begini menikmati kepuasan seksual dengan menyeksa mangsa dan lazimnya ganas dan kejam. Mangsa dianggap objek seks semata-mata. Kenikmatan perogol meningkat selari dengan penyeksaan yang dilakukan. 

Kekeliruan Masyarakat dan Kelemahan Undang-Undang

Melalui beberapa kes yang disebutkan di atas, kita boleh jelas lihat bagaimana sukarnya perogol ditangkap dan dibuktikan bersalah. Hanya perogol yang telah melakukan perbuatan tersebut berulang kali saja yang akan dikenakan hukuman berat. Kebanyakan rayuan perogol dengan alasan remeh temeh diterima dan hukuman diringankan. Proses pembuktian yang sukar kerana beban pembuktian yang berbeza dari kes jenayah lain seperti mencuri dan membunuh juga membuatkan mangsa sering berhenti di tengah jalan. 

Sesetengah dari masyarakat pula sukar simpati dengan kes rogol transgender hanya kerana identiti mereka yang berlainan dari individu lain. Sesetengah individu pula percaya bahawa golongan transgender layak dirogol dan dikasari dengan alasan mereka bukan perempuan asli. Ke manakah kemanusiaan kita apabila berhadapan dengan keganasan seksual? Adakah nilai nyawa untuk setiap individu berbeza?.

Selain itu, kes yang selalu didebatkan masyarakat ialah kes rogol berkanun. Ramai menyangka bahawa kes rogol bawah umur adalah kes suka sama suka dan tidak perlu dibicarakan. Hakikatnya, kanak-kanak dan remaja perempuan adalah vulnerable dan berkemungkinan dimanipulasi agar melakukan hubungan seks oleh orang terdekat dan orang yang mereka percayai. Lebih dahsyat ada yang memaksa kanak-kanak atau remaja perempuan tersebut berkahwin dengan perogol mereka. Tidak dapat dibayangkan beratnya trauma dan penyeksaan dalam perkahwinan yang akan berlaku kepada mangsa  sekiranya hal ini dibenarkan berlaku. 

Oleh itu, masyarakat perlu membetulkan salah tanggapan dan kekeliruan dalam melindungi mangsa dan memberi keadilan kepada yang selayaknya. Sama-sama kita menjadi masyarakat yang memberikan rasa selamat kepada setiap anggota masyarakat kita. 

More To Explore

Scroll to Top