Persiapan Menghadapi Gelombang Besar Kedua Selepas COVID-19 – Kemelesetan Ekonomi?

Share This Post

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on email

Persiapan Menghadapi Gelombang Besar Kedua Selepas COVID-19 – Kemelesetan Ekonomi?

 

Saya melanjutkan pelajaran sewaktu negara sedang mengalami kesan kemelesetan ekonomi 1997 dan bergraduat daripada salah sebuah universiti di luar negara sewaktu dunia sedang masih bergelut mengatasinya. Krisis Kewangan Asia ketika itu telah mempengaruhi mata wang, bursa saham dan harga aset lain sehingga mencetus kepada kelembapan ekonomi. Kesannya banyak dan di antaranya adalah pengurangan drastik jumlah biasiswa, penyusutan nilai aset, kejatuhan matawang, pasaran hartanah dan saham yang juga menyaksikan penstrukturan semula syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan swasta. Pengalaman menyaksikan semua ini sewaktu masih menghadiri kuliah sungguh menginsafkan. Topik kajian kes kuliah ekonomi dan kewangan selalu berisi tema keruntuhan institusi korporat dan bagaimana mengatasinya dengan tadbir urus berhemah.

 

Perkara asas yang menggerakkan suatu ekonomi adalah aktiviti dan permintaan dan untuk memulihkan segera sesebuah ekonomi yang terkesan hebat dengan pandemik COVID-2019, suatu usaha jelas dan berstruktur dalam mengembalikan semula keyakinan dan menghalang permintaan daripada terus merosot adalah amat perlu. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac sehingga 14 April 2020 telah menampakkan kesan penutupan hampir semua bentuk premis perniagaan (kecuali yang berkeperluan), pembatalan majlis dan acara besar-besaran, lapangan terbang lengang, sempadan ditutup, jalan raya dan hotel kosong. Ketidaktentuan situasi semasa dan keterbatasan pergerakan telah menyebabkan pelbagai bentuk permintaan, selain daripada keperluan hidup telah terhenti. Boleh dikatakan hampir semua industri yang berkaitan dengan sentuhan secara umumnya telah terkesan hebat, bukan sahaja di dalam tempoh PKP tetapi dijangka berlarutan sehingga keyakinan bahawa risiko pandemik ini tidak akan berlarutan terbina semula.

 

Adalah difahami bahawa tumpuan segera kita adalah kesihatan dan keselamatan anggota keluarga, komuniti dan negara kita secara keseluruhan, sebagaimana yang seharusnya. Kita hanya boleh membayangkan mereka yang telah kehilangan orang yang disayangi disebabkan virus ini atau mempunyai ahli keluarga terdekat yang berjuang setiap hari sebagai petugas barisan hadapan sistem kesihatan kita yang boleh dikategorikan antara yang terbaik di Asia Tenggara atau pun mungkin di dunia.

 

Namun, tidak salah untuk kita juga melihat secara mendalam kesan sosio-ekonomi yang tercetus daripada penjarakkan sosial ini demi memastikan kita semua bersedia menghadapinya. Seperti pengalaman pandemik besar lain di sepanjang abad ke ini seperti SARS, Ebola, Influenza boleh dijangka kesan COVID-19 akan melangkaui 12 bulan atau lebih sebelum mula menunjukkan tempoh kestabilan.

 

Persoalannya adakah pakej stimulus ekonomi jawapan mudah dalam menyelesaikan kesan kemelut ekonomi COVID-19?

 

Antara risiko besar kesan ekonomi COVID-19 ialah ia boleh memburukkan lagi ketidakseimbangan kewangan sedia ada, seperti hutang korporat dan isi rumah yang berlebihan, seperti yang telah dibangkitkan pada tahun-tahun sebelum ini. Krisis yang tercetus tidak dijangka seperti COVID-19 berisiko menjerumuskan ketidakseimbangan ini ke dalam kancah krisis kewangan yang lebih jauh.

 

Hutang isi rumah di Malaysia pada masa ini adalah tinggi pada kadar 82.1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), lebih tinggi daripada negara-negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi, seperti Itali (40.3% daripada KDNK), Jepun (58.1% daripada KDNK) dan Amerika Syarikat (76.3% daripada KDNK). Hutang syarikat penerbangan di negara ini juga berbillion jumlahnya dan sehingga lewat tahun lepas pelbagai usaha telah dibuat untuk cuba mengatasinya. Dengan penutupan sempadan pelbagai negara, syarikat-syarikat penerbangan di seluruh dunia amat terkesan daripada aspek permintaan, aliran tunai dan pembayaran hutang.

 

Penambahan kemudahan pinjaman korporat untuk syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menghadapii COVID-19 seperti yang diumumkan baru-baru ini mungkin dapat membantu aliran tunai sementara, tetapi akan mempunyai kesan negatif aliran tunai jangka panjang sekiranya masalah struktur permintaan dan pasaran tidak diselesaikan.

 

Secara umumnya, apabila rakyat berasa panik dengan risiko pandemik COVID-19 ini, rangsangan fiskal seperti pemberian wang tunai, rebat, kredit mudah untuk menggalakkan permintaan akan menunjukkan sedikit kesan jangka pendek tetapi kurang menampakkan hasil untuk jangka panjang kerana kebanyakkan akan memilih untuk menyimpan untuk urusan kecemasan dan berbelanja untuk keperluan penting sahaja. Kawalan Pergerakan yang dijangka berterusan (secara formal atau pilihan sendiri) juga dijangka akan menyebabkan rakyat menjadi tidak responsif kepada apa-apa jua bentuk rangsangan ekonomi.

 

Pandemik COVID-19 adalah suatu krisis kemanusian dan seperti yang pernah berlaku di dalam pelbagai bentuk krisis sebegini di seluruh dunia sebelum ini, ia memerlukan satu pendekatan perancangan jangka panjang selama beberapa tahun yang menyambungkan langsung aspek kemanusiaan dalam pembangunan. Konsep yang telah ditermakan “the Grand Bargain” ini telah dibincangkan secara mendalam oleh pelbagai agensi kemanusiaan dan pembangunan di dalam pelbagai siri perbincangan Panel Khas Pendanaan Kemanusian yang dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Kristalina Georgieva (kini President IMF) di sepanjang Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2015-2016. Kang Kyung-Wha, kini Menteri Luar Korea Selatan, adalah antara pemimpin utama persidangan ini sewaktu beliau bertugas di PBB ketika itu.

 

Secara umumnya pakej stimulus ekonomi adalah baik untuk menangani kesan jangka pendek, namun untuk mempersiap-kalis kan negara dalam menghadapi gelombang selepas COVID-19, perlu ada titik tumpuan strategi utama antaranya adalah:

 

  • Memperkukuh kepercayaan rakyat akan kebolehupayaan sistem kesihatan secara khusus dan pentadbiran negara amnya untuk mengatur dan menjalankan usaha dan menunjuk kepimpinan jelas dalam membanteras penularan dan membina daya tahan sistem dalam menangani kes COVID-19 yang mungkin berulang di masa hadapan. Ini secara progresif akan mengembalikan keyakinan pasaran dengan peningkatan permintaan pelbagai sektor.

 

  • Fokus untuk meningkatkan peluang pekerjaan segera menerusi sektor dan industri kalis COVID-19 seperti kesihatan, pemakanan sihat, kesejahteraan, ekonomi digital, pemasaran maya dan kesiapsiagaan sumber makanan (food security) serta memberi insentif sokongan kepada industri-lain untuk kembali beroperasi seperti biasa secara berperingkat.

 

  • Memulihkan permintaan barangan pelbagai industri. Insentif khas pemulihan permintaan sektor-sektor terkesan COVID-19 seperti pelancongan, perhotelan, pengurusan acara dan sebagainya yang direka untuk memastikan majikan mampu membayar gaji pekerja, kos perniagaan dan rebat khas perkhidmatan dan pengecualian cukai pelancongan negeri dan negara untuk meningkatkan segera permintaan selepas PKP.

 

  • Menstabilkan Penawaran Industri Keperluan Utama. Pembelian panik barangan keperluan utama memperlihatkan keperluan segera untuk lebih banyak industri barangan tersebut dibuat di Malaysia serta inovasi sektor pertanian selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan pengurangan import makanan yang mencecah RM50.5 billion setahun. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan negara tapi mampu juga meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat serta negara. Peningkatan R&D bagi menghasilkan produk keperluan buatan Malaysia yang berkualiti tinggi setanding peringkat antarabangsa akan juga meningkatkan daya saing kita di mata dunia.

 

  • Pengaktifan kerjasama serantau COVID-19 seperti ASEAN dan global dalam menangani bersama kesan dan peluang pandemik ini. Kerjasama yang dimaksudkan bukanlah sahaja skim pendanaan berkos rendah, namun yang lebih utama adalah kerjasama pembangunan, seperti perkongsian teknologi food security serta meninjau kemudahan perkongsian sumber dan potensi kerjasama rakan dagang serantau.

 

Pandemik COVID-19 adalah satu cabaran besar abad ke-21 yang kita hadapi dalam generasi ini. Kita mesti bergerak dengan pantas untuk menangani ancaman dan kemudaratan jangka pendek yang di bawa. Dalam masa yang sama, kita mesti menyuarakan tindak balas kita dengan cara yang akan memupuk manfaat ekonomi dan sosial yang mapan dalam usaha mewujudkan masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia.

 

SITI KAMARIAH AHMAD SUBKI adalah bekas penasihat ekonomi dan kewangan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sejagat PBB di New York, USA, yang percaya usaha membina keamanan adalah satu usaha berterusan yang memerlukan kita semua bersama-sama ke arahnya.

More To Explore

Scroll to Top