Siri 1 : BUDAYA ROGOL PERKARA BIASA?

Share This Post

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on email

Mungkin anda pernah dengar tentang rogol, dan anda tahu apa maksudnya (walaupun anda mungkin terkejut mengetahui bagaimana ia didefinisikan dalam undang-undang). Tetapi budaya rogol?, pasti ada yang terangkat kening mendengar budaya begini. Wujudkah budaya merogol? Rogol sahaja sudah pasti sesuatu yang keji. Bagaimana pula boleh ada budaya yang membenarkan sesuatu yang dikeji dan dilaknat ini berlaku?. Bertenang. Budaya rogol bukan seperti yang anda sangka. Jijik bunyinya, lagi jijik jika kita adalah orang yang menyumbang kepada terjadinya budaya rogol.

 

Terma ini pertama kali muncul dalam buku Rape : The First Sourcebook for Women pada tahun 1970 dan diterbitkan oleh New York Radical Feminists Collective seawal tahun 1974. Budaya rogol (rape culture) adalah budaya dimana keganasan dan gangguan seksual dilayan sebagai normal dan dianggap sebagai tidak dapat dielakkan, serta didokong oleh figura berautoriti, media dan produk budaya serta diterima dan dipersetujui oleh masyarakat. 

 

Budaya rogol ialah apabila masyarakat mengambil mudah gangguan dan keganasan seksual, serta memperlecehkan mangsa. Jenaka seksual dinormalisasikan dan dianggap lucu meskipun ia sebenarnya gangguan yang menyebabkan mangsa tidak selesa. Malah, terdapat kepercayaan dan nilai yang kuat bahawa lelaki dan kanak-kanak lelaki tidak dapat menahan diri daripada melakukan keganasan dan gangguan seksual, serta kanak-kanak perempuan dan wanita perlu bertanggungjawab menjaga diri mereka untuk mengelakkan menghadapi gangguan dari individu yang gagal mengawal nafsu. Oleh itu, segala tindakan bersifat seksual adalah salah mangsa, bukan pelaku. Masyarakat sering suka memberi alasan kepada pelaku dan lebih berminat mensensasikan isu tersebut. Nama yang kerap keluar di dada media ialah nama mangsa dan penjelasan bersifat grafik bagaimana ia berlaku. Boleh dikatakan masyarakat mempunyai kecenderungan untuk menyukai cerita bersifat sadis dan sensasi tetapi pelaku kurang diberi perhatian dan terlepas dari tumpuan masyarakat. Kesannya, mangsa yang menanggung beban malu dan rasa bersalah. 

 

Ahli sosiologi menetapkan budaya rogol kepada empat komponen :  : 

  1. Tingkahlaku dan tindakan – gangguan seksual, jenaka seks.
  2. Cara kita memikirkan tentang seks dan rogol – objektifikasi wanita dalam pornografi.
  3. Cara kita membincangkan tentang seks dan rogol – konsep keizinan dan budaya ketidakseimbangan kuasa (power imbalance), menyalahkan mangsa, memberi alasan kepada pelaku. 
  4. Budaya berkaitan seks dan tindakan serangan seksual – produk ubat kuat dll.

 

Kenyataan culas penggubal undang-undang

Kenyataan seorang Senator ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 di Dewan Negara, tahun ini yang mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol membuktikan betapa tingginya budaya rogol di Malaysia. Kedudukan beliau sebagai individu yang mempunyai pengaruh untuk menggubalkan undang-undang mengeruhkan keadaan. Akhirnya, setelah menerima kecaman bertalu-talu, antaranya dari Menteri di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Timbalan beliau, serta Presiden parti beliau sendiri, beliau akhirnya meminta maaf secara terbuka. Soalnya, berapa ramai lagi yang sebenarnya mempunyai pemikiran sebegini tetapi tidak mengutarakannya secara terbuka? Berapa ramai lagi yang diam-diam menyalahkan mangsa dan tidak merasakan pelaku bersalah sepenuhnya dalam serangan seksual yang berlaku?. Pandangan beliau membimbangkan kerana beliau bukan bersendiri dalam berpandangan sebegini. 

Cara pandang bahawa lelaki gagal mengawal nafsu dalam banyak hal dan ketika merupakan mitos purba yang masih dipegang oleh banyak orang. Lebih bermasalah apabila pandangan peribadi itu diutarakan dalam ruang formal yang memberi kesan kepada golongan wanita di Malaysia. Pandangan sebegini perlu ditentang habis-habisan agar tiada undang-undang yang berat sebelah dikeluarkan oleh penggubal undang-undang di Malaysia.

Jenaka yang tidak lucu

Kerap kali dalam group Whatssapp, di pejabat mahupun ruang santai seperti kedai mamak kita dihidangkan dengan perbualan lucah dan jenaka seks. Perbualan ini selalunya dijadikan hiburan dan bahan gurau senda. Perbualan tentang bentuk tubuh selebriti mana paling menggiurkan sehinggalah apa yang dilakukan di dalam bilik tidur malam sebelumnya dianggap biasa, dan tak jarang komentar tentang tubuh perempuan dianggap melucukan. Perbuatan ini pula biasanya dilakukan secara berjemaah,baik lelaki mahupun perempuan. Sesiapa yang tidak selesa dengan jenaka sebegini akan dianggap kolot, ketinggalan zaman atau tidak mempunyai sense of humour.

Malah ayat-ayat seperti ugutan rogol atau ugutan untuk melakukan sesuatu bersifat seksual ke atas wanita dianggap gurauan. Budaya sebegini sebenarnya amat toksik dan tidak boleh dibiasakan kerana menimbulkan ketidakselesaan dan menganggap wanita sebagai objek seksual semata-mata. Sesiapa sahaja, lelaki dan wanita tidak boleh dijadikan objek seksual walaupun dikatakan gurauan yang tidak bermaksud apa-apa. 

Kes ini nampak ringan tetapi ia berlaku dalam seharian kita. Hanya beberapa bulan yang lalu tahun ini seorang mahasiswa Brickfield Asia College (BAC) menyatakan ugutan untuk merogol dan mengahwini seorang siswi yang belajar di kolej yang sama dalam group Whatssapp sesama mahasiswa lelaki. Apabila kenyataan beliau diketahui oleh siswi berkenaan, siswi berkenaan bertindak memuatnaik screenshot tersebut di laman sosial Twitter. 

Akibatnya, warga net bertindak mencari identiti siswi tersebut dan membocorkan identiti mangsa. Insiden sebegini membuat kita terfikir berapa banyak lagi ugutan rogol yang didiamkan dan dianggap jenaka?.Reaksi warga net yang menyalahkan mangsa dan membuli mangsa sehingga memberikan tekanan dan rasa tidak selamat pada mangsa membuktikan kepada kita semua bahawa budaya rogol diamalkan secara meluas, secara sedar mahupun tidak sedar. Malahan tiada jaminan bahawa siswi tersebut selamat untuk terus belajar di kolej tersebut sehingga menyebabkan ibu bapa beliau mengambil keputusan untuk mengeluarkan beliau dari kolej. 

Budaya pop yang mensensasikan rogol

Filem dan novel merupakan medium hiburan sekaligus mencorakkan pemikiran. Malangnya kedua-dua medium ini dibanjiri dengan imej-imej wanita yang dipergunakan dan submisif. Watak-watak wanita digambarkan memerlukan lelaki yang kuat meskipun lelaki tersebut menindas,malah merogol mereka sekalipun.

 

Ombak Rindu adalah contoh paling epik untuk kes ini. Filem adaptasi karya Fauziah Ashaari terbitan Alaf 21 ini mendapat sambutan hangat oleh masyarakat. Watak Izzah yang dibawakan oleh Maya Karin adalah mangsa keadaan kerana asalnya dijual oleh bapa saudaranya sendiri ke lubuk pelacuran dan kemudiannya diperhambakan oleh watak Hariz (Aaron Aziz). Banyak babak pemaksaan seks iaitu insiden rogol tetapi diindahkan (sugarcoat) hanya kerana hero berwajah tampan dan kononnya mempunyai perwatakan menawan. Rata-rata penonton menyukai cerita tersebut dan jatuh hati dengan watak yang dibawakan oleh Aaron Aziz itu. 

 

Walhal keseluruhan cerita dan watak ini bermasalah apabila penulis cuba meromantiskan isu rogol dan membuatkan masyarakat menganggap kes rogol dalam perkahwinan atau istilah yang lebih kasar ‘pelacur halal’ adalah penghinaan keatas institusi perkahwinan dan wanita. 

 

Novel-novel cinta terbitan penerbitan tempatan pula memaparkan cerita-cerita cinta yang kebanyakkannya tidak memberdayakan wanita malah merendahkan daya intelek pembaca. Golongan wanita dipaparkan sebagai objek seks dan bergantung harap kepada lelaki yang mendera mereka. Cerita-cerita sebegini meracuni minda anak remaja dan membesarkan individu yang kabur tentang konsep keizinan, hak terhadap tubuh badan sendiri. Lebih parah apabila mereka akan keliru tentang konsep seks atau rogol. Apabila mereka tidak faham konsep keizinan dan hak diri sendiri, mereka akan lebih berisiko menjadi mangsa rogol. 

 

Artikel ini akan bersambung ke Siri 2. Siri 2 kita akan meneroka tentang kesan budaya rogol kepada mangsa, dan bagaimana kita boleh bersama berani bersuara melawan budaya rogol. 

More To Explore

Scroll to Top